Skip Ribbon Commands
Skip to main content

AGC Latest News

*SIARAN AKHBAR*

Munirahcopyrightremake.png

PEJABAT PEGUAM NEGARA

SIARAN AKHBAR

SABTU, 08 NOVEMBER 2025

 

Negara Brunei Darussalam Tekankan Usaha Berterusan untuk Memperkukuh Rangka Kerja Perundangan dalam Kenyataan yang Disampaikan Sempena Minggu Undang-Undang Antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu


MUNIRAH UPLOAD WEB ADJUSTED 10.11.png 

New York, 7 November 2025 — Semasa Mesyuarat Pleno ke-36 Jawatankuasa Keenam bagi Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang diadakan selepas penutupan Minggu Undang-Undang Antarabangsa, Dyg Hjh Fauziah binti Hj Sulaiman, Timbalan Penasihat Undang-Undang Kanan, telah menyampaikan kenyataan Negara Brunei Darussalam di bawah Agenda Perkara 80: Laporan Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ILC) mengenai Kerja Sesi ke-76, yang memberi tumpuan kepada Penggal IX — Perjanjian Antarabangsa yang Tidak Mengikat dari Segi Undang-Undang.

 

Kenyataan tersebut, yang pada mulanya dijadualkan untuk disampaikan semasa Minggu Undang-Undang Antarabangsa (27 – 31 Oktober 2025), telah dibentangkan pada peringkat seterusnya berikutan pertimbangan lanjutan bagi Kluster I laporan Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa.

 

Dalam kenyataannya, Negara Brunei Darussalam memuji Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa atas komitmen berterusan terhadap pembangunan progresif dan pengkanunan undang-undang antarabangsa. Delegasi Negara Brunei Darussalam turut mengalu-alukan tumpuan Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ILC) terhadap perjanjian antarabangsa yang tidak mengikat dari segi undang-undang, yang mengiktiraf kepentingan praktikalnya bagi Negara-negara kecil seperti Negara Brunei Darussalam dalam memupuk kerjasama antarabangsa yang fleksibel dan pragmatik.

 

Negara Brunei Darussalam menyatakan penghargaan kepada Pelapor Khas, Profesor Mathias Forteau atas laporan komprehensif dan cadangan membinanya. Kenyataan tersebut menggariskan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap pendekatan yang seimbang dan praktikal, dengan mencadangkan format hibrid yang menggabungkan kesimpulan draf dengan contoh lampiran atau klausa model bagi meningkatkan kebolehcapaian dan pelaksanaan, khususnya bagi Negara-negara kecil.

 

Dengan menonjolkan inisiatif domestik, Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam sedang menerajui usaha untuk membangunkan templat kebangsaan dan garis panduan dalaman bagi perundingan serta pemeteraian Memorandum Persefahaman yang tidak mengikat dari segi undang-undang. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan konsistensi institusi, menyediakan panduan prosedur yang lebih jelas di seluruh kementerian dan agensi kerajaan,  serta menghasilkan penerbitan sebuah buku panduan praktikal pada tahun 2026.

 

Di peringkat serantau, Negara Brunei Darussalam selaras dengan ASEAN's 2023 Rules of Procedure for the Conclusion of Non-Legally Binding Agreements (Aturan Prosedur ASEAN 2023 bagi Pemeteraian Perjanjian yang Tidak Mengikat dari Segi Undang-Undang), yang mencerminkan komitmen bersama terhadap koheren, ketelusan, dan amalan terbaik dalam penggunaan instrumen tersebut.

 

Negara Brunei Darussalam sekali lagi menegaskan kesediaannya untuk menyumbang secara konstruktif terhadap kerja berterusan Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ILC), dengan menekankan bahawa pembangunan draf  kesimpulan atau garis panduan yang jelas akan meningkatkan kepastian undang-undang, menambah baik amalan penggubalan, dan menggalakkan kerjasama antarabangsa yang berkesan.

 

-TAMAT-​


Attachments