NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MENANDATANGANI TRITI ASEAN MENGENAI EKSTRADISI
Pada 14hb November 2025, Negara Brunei Darussalam telah menandatangani Triti ASEAN mengenai Ekstradisi bersama sepuluh anggota Negara ASEAN semasa acara sampingan Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN ke-13 (ALAWMM) yang berlangsung pada 14hb hingga 15hb November 2025 di Manila, Republik Filipina.
Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Muhammed Taib, Peguam Negara selaku Pihak Berkuasa Negara Brunei Darussalam bagi perkara-perkara ekstradisi menandatangani Triti tersebut bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penandatanganan Triti tersebut menandakan pencapaian bersejarah dan hasil yang penting di bawah ASEAN Political-Security Community Blueprint 2025 and the ASEAN Political-Security Plan in ASEAN Community Vision 2045: Our Shared Future.
Triti tersebut mengukuhkan ketahanan dan keupayaan ASEAN bagi menghormati dan menegakkan kedaulatan undang-undang di samping memerangi jenayah rentas sempadan, meningkatkan ketelusan prosedur, dan memperkemas proses ekstradisi dalam kalangan Negara Anggota ASEAN. Triti tersebut juga merupakan langkah penting ke arah usaha ASEAN bagi mewujudkan rangka kerja perundangan yang lebih kukuh untuk kerjasama dalam pekara-perkara yang berkaitan dengan ekstradisi dan memastikan pelaksanaannya.
Penandatanganan Triti tersebut menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk memantapkan kerjasama perundangan serantau dalam menangani jenayah rentas negara. Sebelum ini, Model Triti ASEAN mengenai Extradisi (MAET) yang bersifat tidak mengikat dari segi undang-undang telah diterima pakai semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN ke-10 pada Oktober 2018.
-TAMAT-